Ketam goreng kari
Assalamualaikum, salam sejahtera semua pembaca. Siapa kat sini yang sangat gemar makan ketam? Saya sangat suka makan ketam. Ketam rebus biasa pun sangat sedap bagi saya, apatah lagi yang dimasak istimewa. Syaratnya ketam tersebut mestilah ketam segar..yummy. Kalau petua orang tua-tua, sup ketam dapat membantu meredakan demam denggi.
Ketam adalah salah satu makanan yang rendah kalori. Dianggarkan hanya 85-90 kalori per 100g (bergantung kepada jenis ketam). Ketam juga mengandungi lemak tak tepu, iaitu lemak 'sihat'. Disamping itu, ketam juga adalah sumber asid lemak omega-3 yang membantu menguatkan daya ingatan dan juga mengurangkan risiko penyaki jantung. Isi ketam juga kaya dengan vitamin A,C dan B12, zink dan copper.
Kali ini saya menyediakan ketam goreng kari. Sedikit berbeza daripada kari ketam yang biasa. Kerana saya tidak menggunakan santan. Kuahnya juga lebih pekat. Bagi saya, ketam jika dimasak begini, isinya lebih manis kerana air ketam tidak banyak keluar. Jom lihat resepinya.
Bahan-bahan
2 ekor ketam
1/2 labu bawang besar (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
2 sudu besar bancuhan serbuk kari (saya guna serbuk kari untuk seafood)
sebatang serai
2 sudu besar air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa.
1 1/2 cawan air
Cara-cara
1. Bersihkan ketam.
2. Tumis bawang besar dan bawang putih yang telah dikisar sehingga naik bau.
3. Kemudian, campurkan bancuhan serbuk kari dalam tumisan bawang tersebut.
4. Masukkan air asam jawa dan serai.
5. Setelah tumisan nampak garing, masukkan ketam dan air.
6. Gaulkan ketam dengan kuah kari tersebut sehingga rata.
7. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
8. Biarkan kuah memekat dan ketam masak. Jangan masak terlalu lama.
9. Siap sedia untuk dihidang.
0 comments