Welcome to our website !

mamadee's kitchen

eat well, live simply, laugh often.







Bahan-bahan kuah
1kg  ikan selayang (rebus, masukkan sedikit garam, ambil isi dan kisar isi ikan dengan air rebusan tadi )
½ kg santan pekat
Air (bergantung kepada kepekatan yang diingini)
2 labu bawang merah besar*
3 ulas bawang putih*
2 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
½  inchi halia.*
Garam
1 keping asam keping

Bahan-bahan ulam (mamadee just letak kacang panjang dan kesum, bahan yg lain tiada)
Kacang panjang
Daun kesum
Timun batang
Bunga kantan
Taugeh

Cara penyediaan kuah.
1.                Kisar bahan bertanda *
2.                 Masak santan hingga mendidih.
3.                Masukkan bahan kisar kedalam santan tadi. Sentiasa kacau kuah supaya tidak berketul.
4.                Kemudian masukkan isi ikan, lada hitam dan asam keping. Masukkan air mengikut tahap kepekatan kuah yang anda ingini.
5.                Kacau kuah sehingga mendidih.  Kemudian masukkan garam secukup rasa.
6.                Setelah santan mendidih bolehlah tutup api dan hidangkan kuah dengan laksa.







Bahan-bahan
1/2 ekor ayam
4 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
3 hiris lengkuas*
1 Bunga lawang
1 batang kayu manis
2 sudu besar rempah kari ayam
2 sudu besar rempah gulai darat
Air asam jawa
1 1/2 cawan santan pekat
2 cawan air
3 sudu besar minyak
Garam
Gula

Cara-cara
1. Kisar bahan-bahan bertanda *
2. Panaskan minyak. Masukkan bunga lawang dan kayu manis. Kemudian tumis bahan kisar sehingga naik bau.
3. Bancuhkan rempah-rempah. Kemudian masukkan kedalam periuk. Tumis sehingga garing.
4. Masukkan ayam. Gaul sehingga ayam sebati dgn rempah. Biarkan air ayam keluar, dan rempah meresap dalam ayam.
5. Setelah ayam hampir masak. Masukkan air. Kemudian masukkan santan, air asam jawa dan garam dan gula secukup rasa.
6. Biarkan mendidih sehingga ayam masak.
Alhamdulilah akhirnya buku-buku resepi Mamadee berjaya diterbitkan. Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran Mamadee suatu hari nanti Mamadee akan mempunyai buku resepi sendiri. Segalanya bermula dengan tawaran dari En. Hisham dan juga pihak MPH setahun yang lalu . Ketika menerima tawaran tersebut, terasa bagaikan bermimpi.

Mamadee diberi tempoh setahun untuk menyiapkan tiga buah buku resepi. Mamadee sangat bersyukur kerana pihak En Hisham dan MPH sangat memahami komitmen Mamadee sebagai pelajar disini. Pelajaran dan keluarga tetap menjadi keutamaan, jadi Mamadee menyusun jadual untuk mencuri ruang masa untuk menyiapkan resepi-resepi yang dimuatkan dalam buku-buku resepi ini. Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar dengan sokongan suami.

Dalam siri blogger masakan ini, terdapat tiga buah buku iaitu:


Masakan Pantai Timur






Masakan Thai





Snek Parti



 Buku-buku ini boleh didapati di MPH, Kinokuniya dan Borders seluruh Malaysia dan Singapura. 

Selain itu, anda juga boleh membuat pembelian secara online di sini. Pembelian secara online akan menerima 15% diskaun.


Dan yang paling penting, terima kasih buat semua pembaca blog Mamadee, walaupun blog Mamadee tidaklah popular mana tetapi anda semua masih setia berkunjung ke sini.  


Assalamualaikum semua. Macam mana cuaca di tempat anda? Sekarang ni musim hujan..musim banjir. Hujan lebat mencurah-curah.  Bila sejuk-sejuk ni sedap makan nasi air panas-panas. Nasi air pula kalau dihidang dengan sambal pauh...memang marvellous. 

Sambal pauh/mangga ni memang sedap,   gabungan masam dan pedas. Jom lihat resepinya.


Bahan-bahan
4 ekor ikan selayang/ikan sardin
3 biji mangga muda (mangga kecil2)
5 biji cili padi
Garam secukup rasa.


Cara-cara
1. Rebus ikan dengan air sedikit sahaja.
2. Setelah ikan masak, ambil isi ikan sahaja. Ketepikan.
3. Mangga muda tadi dicincang nipis.
4.Tumbuk hingga lumat cili padi dengan menggunakan lesung.
5. Kemudian masukkan garam dan mangga yg telah dicincang tadi. Tumbuk lagi.
6. Kemudian masukkan isi ikan. Tumbuk kasar-kasar. Gaulkan sehingga semua sebati.
7. Sedia untuk dihidang.



Selamat berhujung minggu semua. Apa aktiviti hari ini? Ibu-ibu pula apa juadah istimewa di hari minggu?.

Hari ni saya menyediakan solok ikan. Solok ikan ni sangat popular di Kelantan. Memang sedap di makan dengan nasi panas. Makan macam tu sahaja pun sedap. Saya ambil resepi solok ikan dari buku chef hanieliza 1 hari 1 resepi.

Bahan-bahan
5 ekor ikan selayang
3 ukas bawang merah
1 sudu teh lada hitam
1/2 cawan kelapa parut
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara-cara
1. Ikan dibersihkan dan dibasuh
2. Kikis isi ikan.
3. Tumbuk bawang, lada hitam dan kelapa sehingga lumat.
4. Campurkan telur, isi ikan dan garam dan bahan yang ditumbuk dlm mangkuk.
5. Gaul rata
6. Kepalkan adunan dan leperkan.
7.  Goreng dlm minyak panas dengan api sederhana.
8. Goreng sehingga warna perang dan masak.




Assalamualaikum apa khabar semua? Masak apa untuk makan malam hari ini? Cuti sekolah pun dah bermula sekarang pasti ibubapa semua mempunyai perancangan aktiviti untuk anak-anak.

Dah lama sebenarnya saya masak gulai darat ikan keli ini, tapi baru ada kesempatan untuk update resepi disini. Gulai darat ini merupakan masakan tradisi orang Kelantan. Ini memang salah satu favourite saya.  Saya tak pasti macam mana masakan ini dapat nama as "Gulai darat". Kalau "buaya darat" tu saya tahu la..hehe.


Jom lihat resepi gulai darat ini. Memang sedap jika dimakan bersama nasi panas dan ulam-ulaman dicicah budu!!

Bahan-bahan
2 ekor ikan keli
1 cawan santan
5 ulas bawang merah*
tiga hiris lengkuas*
tiga hiris kunyit*
3-4 tangkai cili padi merah*
Seikat daun kesum
Asam keping
Garam



Cara-cara
1. Bahan bertanda * semua dikisar.
2. Masukkan bahan dikisar, santan, sedikit air dan ikan kedalam periuk.
3. Masak sehingga hampir menggelegak, masukkan daun kesum dan asam keping serta garam secukup rasa.
4. Setelah ikan masak, bolehlah diangkat.






Assalamualaikum semua. Selamat hari raya aidilfitri kepada semua yang beragama Islam.  Beraya di perantauan tidak kurang meriahnya berbanding di Malaysia. Ini merupakan kali kedua kami sekeluarga beraya disini. Tahun lepas agak pilu & sedih sket, sebab 1st time beraya di bumi ratu ini dan masa tu kami baru 4 bulan sampai di Brisbane. Tapi tahun ini perasaan itu kian terubat sebab  ada ramai kawan-kawan yang rapat seperti sebuah keluarga dan kami bersama-sama meraikan aidilfitri.  Malam raya suami masih bekerja kerana hari raya bukanlah cuti umum disini. Kami di Queensland menyambut raya pada hari Selasa, kerana anak bulan tak nampak so Islamic council annouce raya jatuh hari Selasa. Yg lucunya, hari Ahad malam tu, masing-masing dah sibuk sediakan juadah untuk pagi raya, alih2 bila dengar announcement raya x jadi esok.haha. Semua juadah masuk fridge la dulu.

Selepas solat sunat aidilfitri


Tahun ini saya menyediakan satey ayam dan daging untuk hidangan pagi raya. Sehari sebelum raya baru saya kalut telefon mak di kampung minta resepi satey dan kuah kacang.  Maklumlah sebelum ini, saya ni tukang cucuk satey & tukang makan je. Tak pernah buat satey sendiri..huhu. Jom tengok resepi satey daripada mak saya :)



Bahan-bahan
Seekor ayam dipotong-potong / daging dipotong dadu
2 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
2 batang serai dititik
Serbuk kunyit (kena agak sendiri sukatan)
Garam (secukup rasa)
Gula melaka (cairkan/ racik-racik halus)
1 inchi halia
Sedikit air asam jawa/ asam keping
2 sudu teh jintan manis

Cara-caranya.
1. Semua bahan digaul dengan isi ayam/ daging. Perap dlm 5-8 jam. Kemudian cucuk lah dengan lidi sate

Nasi impit pula saya beli yang segera kat Asian supermarket. Malaysia import mari. Nasib baik ada yg segera ni, kalau tak kena buat nasi impit sendiri. Teringat cara mak buat nasi impit, nasi tu kena tindih dengan lesung batu lagi.





Yang mencabarnya nak buat kuah kacang. Saya cari kacang tanah tapi tak ada, so saya pakai je kacang ni.


Rasa ok juga, yg penting tak perlu buang kulit..hehe.  Kebiasaannya kita perlu goreng kacang tanpa minyak, tapi saya ni kan pemalas sket  kreatif inovatif, saya letakkan kacang dalam tray pembakar dan bakar dalam oven. Jangan guna suhu tinggi nanti terbakor hangit kacang tu. Saya just guna suhu dalam 140degree celcius, lebih kurang 45 minit kacang dah masak. Bergantung kepada oven masing-masing. Dan yang penting kena la check dari masa ke semasa untuk make sure kacang dah masak dan tak hangit.

Sambil-sambil bakar kacang dalam oven, bolehlah buat kerja lain, kupas bawang blend lada kering. Maklumlah saya sorang je tenaga buruh kat rumah.

Resepi kuah kacang.

400g kacang tanah/ kacang (goreng tanpa minyak sehingga masak atau boleh juga dibakar dalam oven sehingga masak dan kemudian blend sehingga hancur)
10 tangkai lada kering *
10 ulas bawang merah * (tapi saya pakai 2 labu bawang besar holland)
2 ulas bawang putih*
2 hiris lengkuas*
3 cawan santan
2 batang serai dititik
Gula melaka
2 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara-cara
1. Rebus sebentar lada kering. Kemudian kisar bersama bahan-bahan bertanda *.
2. Tumis bahan-bahan yg telah dikisar tadi sehingga garing.
3. Kemudian masukkan santan. Kacau perlahan-lahan.
4. Setelah santan menggelegak, masukkan kacang kisar, serai, jintan manis, jintan putih dan gula melaka. Masak kuah sehingga mendidih.

* kalau nak kurangkan santan anda perlu lebihkan kacang kisar. Kebiasaanya kuah kacang ni rasa manis2 sket, so bolehlah letak gula melaka lebih sket.

Sarapan pagi raya 3 beranak, sebelum kami serang rumah kwn2 yg buat open house ;)







Assalamualaikum semua. Cepat rasanya masa berlalu, dah 7 hari kita semua berpuasa. Tempoh hari ada kawan saya yang berada di Leige, Belgium buat kuih cek mek molek ini untuk berbuka puasa. Sedapnya, dah lama tak makan. Teringin sangat. Terus keesokan harinya pergi mencari ubi keledek di pasaraya.

Saya ambil resepi ini dari blog kak azie kitchen. Jom lihat resepinya.


Bahan bahan
ubi keledek oren
tepung gandum (kena agak sendiri sukatannya, bergantung kepada ubi)
sedikit gula

Cara-caranya.

  1. Rebus ubi sampai empuk. Lenyekkan.
  2. Ubi yg telah dilenyek diuli dan digaul bersama tepung gandum. Agak agak lah kelembutan adunannya.  Kalau terlebih gandum, adunan menjadi keras.  
  3. Bentukkan kuih cek mek molek. Masukkan sesudu gula dan dibentuk membujur. 
  4. Goreng dalam minyak panas yang banyak dengan api perlahan agar gula hancur menjadi air gula semasa digoreng. 
  5. Angkat bila kekuningan. Awas gula panas, jadi berhati hati jika makan kuih cek mek molek semasa panas panas.
Salam sejahtera kepada semua pembaca.  Hari ini saya masak ringkas sahaja, sotong masak serai. Dah lama rasanya tak makan sotong semenjak berada di Brisbane.

Masakan ini saya tak pasti asalnya dari mana. Mungkinkah masakan Kelantan?. Sebab saya selalu tengok ibu saya menyediakannya. Masakan ini senang sahaja, orang kata, main campak-campak sahaja kemudian siap.


Jom lihat resepinya.

Bahannya
10 ekor sotong
1 batang serai
3 ulas bawang putih dihiris nipis
1 sudu teh budu
2 keping asam keping
Garam


Cara-caranya
1. Masukkan semua bahan dalam periuk.
2. Didihkan sehingga sotong masak.

 Colek perut dan paru ini makanan yang popular di Kelantan.  Setiap kali saya pulang ke Pasir Mas acara wajib bagi kami sekeluarga adalah menikmati colek perut di kedai bersebelahan dengan stadium Pasir Mas. Ada teman saya pernah memberitahu ada kedai colek perut yang sangat sedap di Tanah Merah. Tetapi saya masih belum berpeluang ke sana.
Saya masih ingat ketika mengandung tahun 2010 dulu, saya mengidam colek perut. Habis satu kawasan Bangi suami terpaksa ronda. Tetapi hampa tiada kedai yang jual colek perut. Kali ini di Brisbane,  perasaan mengidam colek perut datang lagi. Tetapi kali ini mengidam bukan kerana mengandung tetapi mengidam sebab dah lama tak makan colek perut. Kebetulan terjumpa paru dan perut yang dijual di halal butcher. Kadang-kadang susah juga nak jumpa paru dan perut di halal butcher brisbane.  Bergantung pada stok dan rezeki.hu2.

Resepi colek perut in saya ambil dari blog Ieena. Jom lihat resepinya.

Bahan-bahan utama
Perut lembu (perut babat)
Paru
Timun
Taugeh

Bahan-bahan cucur tepung
2 cwn tepung gandum
1 biji telur
garam

Bahan kuah
Segengam cili kering
Gula melaka
Air asam jawa
Cuka
Garam

Cara-cara
  1. Perut lembu direbus sampai empuk
  2. Paru direbus sampai agak empuk..kemudian digoreng
  3. Perut dan paru di hiris nipis..kalau tebal tak sedap
  4. Sagat timun panjang2
  5. Rendam tauge dengan air panas  

Cucur tepung
  1. 2 cawan tepung + garam + gula + garam + telur
  2. Digoreng dan dipotong nipis juga
Kuah colek
  1. Masak gula melaka + cili kering yg diblend + bawang putih yg ditumbuk lumat + sedikit cuka + garam secukup rasa..kalau ada kacang tumbuk pun best gak....
Cara penyediaan
  1. Masukkan semua dalam pinggan...masukkan kuah dan keropok keping diramas2 kasar....sedia untuk dimakan..



Bila berada  di perantauan, rindu pada masakan Malaysia memang tidak dpt dinafikan. Kebetulan,  kami terjumpa belut ada dijual disini. Gembira dan teruja. Suami meminta saya memasak gulai darat kelantan.  Gulai darat ini juga boleh dimasak dgn menggunakan ikan keli atau ikan sungai. Memang sangat sedap dan cara memasak juga sgt senang. Kenapa dipanggil gulai darat? kerana utk memasak gulai ini semua bahan dicampur terlebih dahulu dlm periuk (atas 'darat') sebelum di letak di atas dapur. Sebab itu lah org2 tua menamakan gulai ini gulai darat..hehe  Jom lihat resepinya.

Bahan2
Belut atau ikan
5 ulas bawang merah*
1 inchi lengkuas*
I inchi kunyit*
4 tangkai cili padi*
Seikat daun kesum
1 1/2 cwn santan cair.
1 kpg asam keping
Garam

Cara-cara

1. Belut atau ikan sungai yg diguna sebelum dimasak perlu direndam dlm air asam jawa terlebih dahulu. Rendam lbh kurang 10 minit utk hilangkan hanyir.
2.Kisar semua bahan bertanda.
3. Kemudian masukkan bhn kisar, santan , asam keping dan belut ke dalam periuk.
4. Masak sehingga mendidih,  kemudian masukkan daun kesum dan garam.
5. Siap




Asam pedas Kelantan merupakan masakan yang ringkas serta menyelerakan dan menjadi kegemaran saya semenjak dahulu. Walaubagaimanapun semenjak berpindah ke Brisbane saya jarang menyediakan asam pedas Kelantan kerana disini sukar untuk mencari ikan yang sesuai untuk dimasak asam pedas Kelantan.

Tetapi hendak seribu daya, dek kerana mengidamkan asam pedas ini, saya berkunjung ke Asian Fish Market untuk mencari ikan yang sesuai. Saya amat lemah dalam mengenalpasti ikan (ikan yang paling saya kenal adalah ikan goreng :P)  tambahan pula disini ikan-ikannya sedikit berbeza daripada ikan di Malaysia. Saya memilih Red Snapper fish,(ikan ini seakan2 ikan kerisi) untuk dimasak asam pedas.  
Red snapper fish (Google image)

 Akhirnya berjaya juga saya merasa asam pedas Kelantan di bumi Brisbane ini .:). Jom lihat resepinya. 

Bahan-bahan
2 ekor ikan 
5 ulas bawang merah*
5 tangkai cili padi*
1 ulas bawang putih*
1 inchi lengkuas*
1/2 inchi kunyit* 
Daun kesum
1 kpg asam keping
Garam secukup rasa.

Cara-cara
1. Kisar semua bahan bertanda *. Campurkan air secukupnya.
2. Masukkan ikan dan bahan yg telah dikisar kedalam periuk.
3. Masak sehingga mendidih, kemudian masukkan daun kesum, asam keping dan garam secukup rasa.
4. Biarkan mendidih shg ikan masak. Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.


Resepi nasi air ini Kelantan  ini adalah resepi daripada ibu saya. Nasi air cukup terkenal di Kelantan dan senang didapati di warung-warung di sekitar negeri Kelantan. Nasi air Kelantan sedikit berbeza daripada bubur nasi.  Jom lihat resepinya.




Bahan-bahan nasi (utk 2-3 orang)

1 cawan beras
4 cawan air rebusan tulang/daging
3 hiris halia*
2 ulas bawang butih*
sebatang serai *
garam
(bahan bertanda * perlu diketuk)

Bahan-bahan sup

5 cawan air rebusan tulang
4 hiris halia
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
kayu manis
buah pelaga
bunjut sup

Bahan-bahan aksesori

ikan bilis goreng
daging goreng (dipotong kiub kecil-kecil dan digoreng)
sayur kobis dihiris halus
daun sup
bawang goreng
sayur jeruk
lada sulah
daun sup


Cara penyediaan nasi
  1. Rebus tulang dan daging sehingga empuk (air ini akan digunakan untuk menyediakan sup dan juga memasak nasi)
  2. Basuh beras sehingga bersih.
  3. Kemudian masukkan halia, bawang putih, serai yang telah diketuk/titik dan sedikit garam kedalam periuk yang berisi beras.
  4. Masukkan air rebusan tulang & daging kedalam periuk yang berisi beras tadi. Anggaran nisbah air dan beras adalah air perlu sekali ganda lebih banyak daripada sukatan air utk memasak nasi biasa.Masak nasi seperti biasa. (Nasi perlu sedikit lembik drp biasa).

Cara penyediaan sup
  1. Tumis kayu manis, buah pelaga, bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau. (Tips utk mendapatkan sup yg enak, saya memasukkan garam dan gula dalam tumisan bawang, goreng sehingga bawang bertukar warna perang gelap. Karamel drp gula hangus akan menjadikan sup lebih sedap).
  2. Masukkan air rebusan tulang/daging kedalam periuk.
  3. Masukkan bunjut sup.
  4. Masukkan garam secukup rasa.

Cara hidangan
  1. Sendukkan nasi yang telah masak kedalam mangkuk
  2. Letakkan ikan bilis, daging goreng, daun sup, bawang goreng, sayur kobis, sayur jeruk dan lada sulah kedalam mangkuk.
  3. Sendukkan kuah sup kedalam mangkuk
  4. Sedia untuk dimakan.