Saturday, May 31, 2014

ENGLISH SCONE



Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca. Apa kata hari ini untuk morning tea kita sajikan sesuatu yang berbeza.  Saya baru cuba untuk buat sendiri scone. Mudah sahaja rupanya. Scone merupakan sajian tradisi orang Inggeris dan disajikan untuk morning tea. Ada resepi scone yang dicampur kismis dan ada yang plain. Scone plain dimakan bersama jem strawberry dan juga cream.
Resepi ini saya ambil dari website Taste.com.au . Rakan sepejabat saya yang mengesyorkan resepi ini kepada saya. Memang sedap. Syaratnya, jangan uli terlalu lama doh scone tersebut. Jika diuli terlalu lama, gluten akan terhasil dan scone akan menjadi keras. Jom lihat resepinya

Bahan-bahan

3 cawan tepung naik sendiri (atau gunakan tepung gandum biasa dan dicapur dengan 3 sudu kecil baking powder)
80 g butter (potong dadu)
1 cawan susu segar
Jem atau cream untuk disapu atas scone


Cara-cara
1.Panaskan oven 200 darjah celcius
2. Campurkan butter dan gandum dalam bekas. "Rub" dengan menggunakan jari butter dan tepung sehingga menjadi seperti serbuk roti.
3. Buatkan lubang ditengah-tengah, campurkan susu sedikit demi sedikit sambil diuli. Jika doh masih keras boleh tambahkan susu.
4. Canai doh lbh kurang 2 cm tebal dan tekap dengan acuan bulat (diameter 5cm).
5. Letakkan scone di atas baking tray. Jarakkan 1 cm antara satu sama lain. Taburkan sedikit tepung atas permukaan scone.
6. Bakar selama 20-25 minit
7. Setelah masak, bolehlah disajikan bersama jem ataupun cream.


Tuesday, May 27, 2014

AYAM BAKAR LADA HITAM

 Assalamualaikum semua. Alhamdullilah, setelah melalui fasa yang panjang yang sangat memenatkan otak, fizikal dan emosi, akhirnya semalam saya dah berjaya menyiapkan proposal dan dihantar untuk diperiksa. So sekarang, tunggu feedback. Hari ni baru saya rasa sakit-sakit satu badan. Tegang urat leher, semua urat sakit. Agaknya badan saya dah lama ber'sabar' merayu-rayu minta saya berehat..haha. Saya selalu macam ni, bila buat kerja saya boleh bekerja untill maximum. Dan selepas selesai kerja barulah badan terasa sakit, kepala berdenyut. Saya tahu amalan ini tidak berapa bagus untuk kesihatan, huhu, tetapi itulah pengorbanan yang diperlukan demi mencapai segulung Phd.
Hari ini, saya berehat sahaja dirumah. Sambil-sambil tunggu anak pulang dari sekolah sempat lah mengemas dapur, masak hidangan istimewa untuk makan tengah hari nanti, nak buat facial tampal masker kat muka (maklumla dah tua sebelum usia), rendam kaki dalam air panas, kilatkan kuku..haha. wah.. rasa seperti wanita kaya-kaya pula hari ini. :P . Hari ini saya menyediakan ayam bakar lada hitam yang dihidangkan dengan mash potato dan salad. Untukengelakkan ayam bakar menjadi kering, saya membungkus ayam tersebut dgn foil terlebih dahulu. Dan bakar sehingga 3/4 masak. Jadi ayam masih mengekalkan kelembapannya. Dan hanya setelah ayam hampir masak barulah saya membuka bungkusan foil dan bakar hanya untuk garingkan ayam Jom lihat resepi ayam bakar versi saya.


Bahan-bahan.

1/2 ekor ayam
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar cuka
1 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Cara-caranya.
1. Perap ayam dengan semua bahan semalaman atau minimum selama 30 minit
2. Balutkan ayam dalam aluminium foil. Bakar ayam dalam oven selama 20 minit dengan kepanasan 200 celcius degree.
3. Setelah ayam 3/4 masak, buka balutan aluminium foil, dan bakar sehingga ayam masak dan garing.


DEVIL'S FOOD CHOCOLATE CAKE


Salam sejahtera untuk semua pembaca. Sudah lama rasanya saya menyepi dari baking cake. Kesian pula dah banyak hari anak saya meminta kek. Si kecil Ilham memang sangat menggemari kek. Kebetulan hari ini, saya ingin berehat setelah lama strunggle untuk menyiapkan proposal. Dah lama asyik tengok di Instagram , kek coklat dari kak yanie The Kitchen Guardian. Menurut kak yanie resepi ini adalah dari Shelly Kaldunski book on Cupcakes. Memang menggiurkan.

Bagi saya resepi ini memang terbaik setakat ini. Keunikan resepi ini adalah kerana ia menggunakan gula perang dan juga buttermilk. Saya gandingkan kek ini bersama coklat ganache. Kebiasaanya coklat ganache dicurah atas kek, tapi kali ini saya ingin mencuba teknik yang berbeza, coklat ganache itu di'whipping' (whipping=saya tak tahu istilah dalam bahasa melayu apa dia :( ). Jadi whipped coklat ganche tersebut boleh digunakan untuk menghias kek. Jom lihat resepinya.

Bahan Kek 
2 cawan tepung gandum
1 / 2 cawan cocoa powder
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1 / 2 sudu kecil garam
1 / 2 cawan gula pasir
1 / 2 brown sugar
125 gm mentega
2 biji telur gred A
2 sudu kecil vanila ekstrak
1/2 cawan buttermilk-(buat sendiri guna 1/2 cawan susu ditambah dengan 1 sudu kecil cuka dan rehatkan selama 10 minit).
1 cawan air suam

Cara-caranya

  1. Panaskan oven pada suhu 170C
  2. Sediakan loyang ukuran 8 inchi
  3. Alas dngn kertas minyak dan sapu butter di sekelilingnya.
  4. Ayak tepung, cocoa powder, soda bikarbonat, garam, dan ketepikan.
  5. Pukul mentega dengan gula sampai ringan dan mengembang, tambah telur.
  6. Bila semuanya sudah sebati masukkan bahan-bahan  kering(tepung, cocoa powder) bergantian dengan bahan2 cecair (buttermilk+air suam) sehingga habis.
  7. Terakhir masukkan vanila ekstrak
  8. Bakar selama sekitar 30 minit atau hingga masak.


Chocolate Ganache
100ml double cream/ whipping cream
250gm coklat gelap dicincang halus



1. Double boil cream jangan sampai mendidih,tambah coklat , kacau rata. 
2. Bila semua sudah cair, Angkat dan sejukkan
3. Setelah ganche betul2 sejuk, putarkan/ whipped dengan mixer.
4. Setelah di putar, ganche sedia untuk digunakan.

* Saya menyediakan ganache terlebih dahulu sebelum menyediakan kek. Jadi sedang elok bila kek dah sejuk, ganache pun dah sejuk dan sedia untuk dilepa pada kek.

Saturday, May 24, 2014

NASI GORENG KAMPUNG


Salam sejahtera semua. Ini merupakan entry yang dah lama tertangguh. Semenjak dua menjak sibuk ni, saya rasa menu tiap-tiap hari adalah nasi goreng.:P. Bukan apa, nasi goreng senang dan ringkas bahan-bahannya. Kali ini saya menyediakan nasi goreng kampung resepi campak2 versi saya. Jom lihat resepinya.


Bahan-bahan

2 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
segenggam ikan bilis*
Isi ayam dipotong kecil-kecil
kacang panjang
ikan bilis goreng
garam secukup rasa

Cara-caranya.
1. Bahan-bahan yang bertanda * ditumbuk terlebih dahulu
2. Kemudian tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi.
3. Masukkan ayam. Biarkan ayam masak. Masukkan garam
4. Masukkan nasi dan gaul sehingga rencahnya sebati.
5. Masukkan sayur.
6. Setelah nasi masak, taburkan ikan bilis goreng. Gaul sebati, Sedia untuk dihidang.

NASI GORENG CINA

Salam sejahtera kepada semua pembaca. Apa hidangan sarapan anda pagi hujung minggu ini? Kali ini saya menyediakan nasi goreng cina yang ringkas. Dah tak ada idea nak masak apa.  Ini nasi goreng cina versi saya, saya pasti banyak lagi resepi lain di luar sana. Nasi goreng cina ini saya rasa masakan yang paling senang dan tak memerlukan banyak rencah.

Bahan-bahan
5 cawan nasi putih
3 ulas bawang putih
isi ayam dipotong kecil-kecil
udang
carrot
kacang panjang *optional
2 sudu teh lada sulah
garam secukup rasa
1 biji telur

Cara-cara
1. Tumis bawang putih sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan ayam. Biarkan sehingga ayam masak
3. Masukkan udang, garam dan lada sulah Kacau sebentar untuk bagi udang masak.
4. Masukkan nasi putih. Gaul rata.
5. Masukkan sayur-sayur yang digemari.
6. Gaul nasi sehingga rencahnya sebati.
7. Kemudian, buatkan lubang di tengah-tengah nasi. Pecahkan telur. Biarkan telur 3/4 masak. Kemudian gaul telur tersebut dengan nasi. Siap, sedia untuk dihidang.

Friday, May 23, 2014

JEMPUT-JEMPUT PISANG

Selamat hari Sabtu semua. Teringat zaman kecil-kecil dahulu, ibu selalu  menyediakan jemput2 pisang untuk sarapan dan minum petang. Kerana kami mempunyai kebun pisang di tepi rumah. Pendek kata, semua kuih yang berasaskan pisang menjadi menu untuk minum petang kami sekeluarga. Memang sangat seronok bila bercucuk tanam. Saya mempunyai 5 beradik, dan setiap orang akan menanam pokok pisang masing-masing. Bila pokok pisang berbuah, kadang2 setandan pisang itu dapat banyak sikat pisang dan gemuk2 pula pisangnya. Ibu saya berkata orang yang 'tangan sejuk' sesuai tanam pisang. Haha. 



Jemput2 pisang yang ibu saya sediakan sangat sedap, gebu dan bulat2. Sebelum ini saya memang x pandai buat jemput2 pisang, setiap kali buat mesti jadi leper dan berminyak. Pendek kata memang dah giveup kalau nak buat jemput2 pisang. Kebetulan terjumpa resepi ini di blog che mat gebu. Biasa resepi dari che mat memang tidak menghampakan. Saya cuba utk menyahut cabaran menyediakan jemput2 pisang kali ini. Hasilnya memang sedap dan gebu.  Bentuknya juga tak leper..menjadi bulat2. Hehe.

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 biji pisang emas (saya x guna pisang emas..sebab x jumpa cari kat sini.  Lasr2 pakai pisang Cavendish. .haha)
3/4 camca teh soda bicarbonat
1 camca besar gula perang @ 1/3 camca besar gula halus
1 cawan tepung gandum 
1/4 camca teh garam halus
Minyak untuk menggoreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas pisang, lecek bersama gula, garam dan soda bikarbonate hingga hancur. Masukkan tepung dan gaul rata hingga sebati. Perap 30 minit.
  2. Panaskan minyak pada tahap kepanasan sederhana. Basahkan hujung jari dalam air, jemput kan adunan tadi ke dalam minyak panas, pastikan jangan banyak2,buat dalam 10 biji macam tu, sebab ianya akan kembang. Tapi ini bergantung pasa saiz kuali yang anda gunakan.
  3. Goreng hingga kuning keemasan pada seluruh bahagian cekodok. Angkat dan toskan. Letak atas paper towel dan biar minyak terserap.






Sunday, May 18, 2014

SAMBAL CIBIUK/ SAMBAL SUNDA JAWA BARAT








Bagi sesiapa yang berada di kawasan Bangi, saya rasa pasti pernah ternampak satu restoran di tepi highway iaitu Kedai Makan Cibiuk Raja Sambal. Sambal yang dihidangkan di restoran itu mmng pedas mengancam dan sedap. Sambal Cibiuk ini berasal dari kawasan Sunda.
Di Brisbane juga terdapat restoran Indonesia yang menyajikan sambal yang sedap iaitu restoran Shalom di kawasan Sunnybank. Tahap kepedasan sambal yang disajikan memang berasap telinga. Saya dan suami memang sangat menggemari sambal Indonesian style mcm ini. Rasa sambalnya unik mungkin kerana meggunakan daun kemangi/basil dalam sambal tersebut.


Hasil pencarian Google, saya terjumpa resepi sambal cibiuk dalam website masakan Indonesia. Jadi disini saya cuba mengalih bahasa ke Bahasa Malaysia.

Bahan-bahannya

1 ulas bawang putih
10 biji cili padi hijau
1 biji tomato
1 inci halia
sedikit belacan
5 helai daun kemangi/ basil
Air limau nipis.
Garam secukup rasa


Cara-caranya

1. Tumbuk semua bahan sehingga lumat kecuali daun kemangi/basil.
2. Setelah semua bahan lumat, masukkan daun kemangi/basil dan gaul sehingga sebati.


Tuesday, May 13, 2014

AYAM BAKAR MADU

Semenjak dua menjak ini memang tersangat sibuk. Tidur pun tak cukup, terpaksa stay up sehingga tengah malam untuk menyiapkan kerja dan menelaah.  Dua minggu lagi saya perlu menyiapkan dokumen penuh untuk proposal defence. Petang tadi baru selesai mesyuarat bersama supervisor, Alhamdullilah tak banyak perubahan yang perlu dibuat daripada penulisan saya sebelum ini.  Tekanan semakin terasa bila semakin dekat dengan tarikh pembentangan proposal. Semoga semuanya baik-baik sahaja. Doakan juga untuk saya ye.

Rutin yang sibuk setiap hari, tetapi kewajipan sebagai isteri dan ibu menyediakan juadah untuk keluarga tetap dijalanan. Kadang-kadang bila sibuk, saya sekadar masakkan juadah ringkas sahaja, Malam ini, saya menyediakan ayam bakar madu. Sebenarnya senang sahaja untuk menyediakan ayam ini, saya memerapnya sebelah malam sebelum tidur kemudian petang keesokan harinya, saya akan membakar ayam tersebut dalam oven. Ayam bakar ini saya hidang bersama nasi goreng cina dan juga salad.

Jom lihat resepinya.

1/2 ekor ayam
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 susu besar kicap manis
1 sudu besar madu
garam secukup rasa

Cara-caranya.
1. Campurkan semua bahan, kemudian lumurkan pada ayam.
2. Perap semalaman.
3. Cara bakar ayam. Bungkus ayam dalam aluminium foil dan bakar selama 30 minit pada suhu 200 degree celcius.
4. Kemudian, buka aluminium foil dan bakar ayam sahaja selama 20 minit lagi atau sehingga kelihatan masak dan garing.


Sunday, May 11, 2014

SOTONG MASAK SERAI

Salam sejahtera kepada semua pembaca.  Hari ini saya masak ringkas sahaja, sotong masak serai. Dah lama rasanya tak makan sotong semenjak berada di Brisbane.

Masakan ini saya tak pasti asalnya dari mana. Mungkinkah masakan Kelantan?. Sebab saya selalu tengok ibu saya menyediakannya. Masakan ini senang sahaja, orang kata, main campak-campak sahaja kemudian siap.


Jom lihat resepinya.

Bahannya
10 ekor sotong
1 batang serai
3 ulas bawang putih dihiris nipis
1 sudu teh budu
2 keping asam keping
Garam


Cara-caranya
1. Masukkan semua bahan dalam periuk.
2. Didihkan sehingga sotong masak.

Saturday, May 10, 2014

PISANG GORENG CHEESE

 Selamat hari ibu untuk semua ibu. Menjadi seorang ibu bukanlah satu anugerah untuk wanita, tetapi adalah satu amanah dan tanggungjawab. Amanah seorang ibu adalah anak-anak. Apa kata sempena hari ibu ini anak-anak boleh lah menyediakan hidangan yang ringkas untuk ibu masing-masing. Para ibu saya rasa tidak mengharapkan hadiah yang mahal dari anak-anak, cukuplah penghargaan yang ikhlas.


Resepi pisang goreng cheese ini saya ambil dari bloh mamafari. Jom lihat resepinya.

BAHAN-BAHAN UNTUK PISANG GORENG

1 biji pisang Tanduk(saya tak guna pisang tanduk sebab tak jumpa kat sini)
4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
sebiji telur
satu sudu butter
secubit garam
perwarna kuning@serbuk kunyit
minyak masak secukupnya untuk mengoreng

BAHAN-BAHAN UNTUK TOPING

Keju cheddar(diparut)
satu sudu kecil susu pekat manis
satu sudu kecil butter

CARA-CARA

1. Tepung gandum dan tepung beras, dicampur dalam satu bekas bubuh air dan telur serta perwarna kuning. (Sesiapa yang tak suka pakai pewarna boleh juga guna serbuk kunyit), Masukkan sesudu butter didalam bancuhan tepung tadi serta sedikit garam.

2. Masukkan pisang ke dalam bancuhan tepung, dan goreng seperti biasa, serta toskan.(deep fry).

3.  Di dalam kuali yang lain bubuh sedikit butter, masukkan sedikit saja keju yang telah diparut dan sedikit susu pekat manis. (saya hanya panaskan dalam microwave selama 20 saat).

4. Siap untuk dihidang dengan ditabur parutan keju di atas pisang goreng.





Friday, May 9, 2014

SIRI BERCAKAP DENGAN ANAK: SISA MAKANAN, APA KITA BOLEH BUAT?

Sambungan dari siri lepas (anda boleh baca di sini)

Ayah: Rancak nampak ibu dan Boy berbual kat luar.

Boy: Hahaha.. ibu tengah explain pasal sisa makanan. Eh tadi ibu cakap, ibu nak terangkan apa kita boleh buat kalau nak kurangkan sisa makanan.

Ayah: Tapi kan sebelum tu, boleh tak ibu buatkan air teh. Sedap juga minum air teh cicah biskut kering sambil dengan ibu 'bersyarah' nanti...hehe.

Ibu: Ok. Baiklah 'bos besar'.

Setelah ibu selesai menyediakan air teh, mereka bertiga duduk di ruang tamu.

Ayah: Haa, bila ibu nak mula syarahan ni?

Ibu: Tadi ibu dah cerita kat Boy, kenapa kita perlu kurangkan sisa makanan. So, skrg ibu nak kongsi la macam mana cara kita nk bertindak. Orang kata, cakap sahaja tak guna kalau tak bertindak kan.

Ayah: Betul juga. Orang putih cakap, Action speaks louder than words.

Ibu:  Ibu ada baca kat website, terangnya kalau nak kurangkan sisa makanan perkara pertama kita kena buat "Meal planner" atau rancang apa yang kita nak masak dan hanya beli bahan yang kita nak guna.

Ayah: ooo..jadi kiranya macam plan siap-siap untuk seminggu la apa nak masak ye. Jimat duit, jimat masa, dan kurangkan stress ibu nak fikir apa nak masak selepas balik kerja tiap-tiap hari. hehe

Ibu: Ya betul sangat. Then, untuk kurangkan sisa makanan, kena kreatif guna 'leftover' yang ada. Contohnya macam french fries yang tak habis makan boleh guna untuk buat bergedil kentang. 


Boy: Ibu cakap pasal french fries, tiba-tiba rasa lapar pula..hehe

Ibu: Hahaha, kesitu pula dia. Satu lagi cara untuk kurangkan sisa makanan, bila beli stok makanan baru, stok yang lama dalam almari pantry atau peti sejuk, perlu di bawa letak didepan. Ini adalah untuk memastikan kita akan guna terlebih dahulu stok makanan yang lebih awal dibeli. Kalau tak nanti stok yang lama akan berada di belakang, sedar-sedar dah expired atau berkulat. Rugi kan sebab terpaksa dibuang. 

Ayah: Ayah pun nak bagi tips juga la. Kalau nak kurangkan sisa makanan, jangan ambil makanan banyak sangat lebih apa yang kita nak makan. Serve small amounts sahaja. 

Ibu: Betul tu. Dan kalau ada juga sisa makanan, kita boleh buat composting sisa makanan tersebut. Nanti baja kompos yang terhasil tu boleh guna untuk taman kita kat depan  tu. Ada banyak kat internet ajar macam mana nak composting sisa makanan. 

Boy: Nanti kita kena beli la kan tong untuk composting sisa makanan tu kan.

Ayah: A'ah, ya.

Maka petang itu, ketiga-tiga beranak ini pergi ke kedai untuk membeli tong kompos. Sekurang-kurangnya mereka timbul kesedaran dan ingin bertindak. Nak mengubah orang lain adalah sangat susah, apa kata kita ubah diri sendiri dahulu. Dan kita ambil langkah pertama untuk berubah, ubah gaya hidup yang lebih mesra alam. Mereka sudah bertindak, anda bila lagi?





"SMALL ACT BUT CAN MAKE HUGE DIFFERENCE"

SIRI BERCAKAP DENGAN ANAK: DAPUR HIJAU & SISA MAKANAN


Pada suatu pagi hujung minggu, seorang ibu dan anak berada di laman rumah mereka. Kemudian mucul bau busuk yang menusuk hidung, tidak menyenangkan dua beranak ini. Rupanya tidak jauh dari situ, kelihatan lori sampah dan pekerjanya sedang memungut sampah selang 5 buah rumah dari rumah mereka. Ibu memerhati gelagat anaknya yang menutup hidung seolah-olah jijik dengan bau busuk sampah tersebut.

Ibu: Cuba Boy teka berapa banyak, berapa kilo org buang sampah tiap-tiap hari?

Boy: Alaa..ibu soalan apa ni. 100 kg kot.

Ibu: Kalau Boy nak tahu, tiap-tiap hari kat Malaysia ni orang buang sampai sampai 22000 tan sehari. 1 tan tu sama dengan 1000kg. Kalau 22000 tan tu banyak mana?..

Boy: emm..jadi 22 juta kilo. Banyaknya ibu!! Kalau isi satu stadium boleh penuh!

Ibu: Kalau Boy nak tahu lagi, separuh dari sampah 22 juta kilo tu adalah sisa makanan. Makanan yang orang makan tak habis,  makanan yang tamat tempoh, makanan yang rosak dan dibuang.





Boy: Emm..Boy selalu tengok kat kantin kawan-kawan selalu makan tak habis dan buang. Tapi kalau dah kenyang nak buat macam mana.

Ibu: Sebab itulah kita tak boleh tamak. Ambil makanan yang sekadarnya. Dalam Islam pun ada cakap membazir itu amalan..??

Boy: Amalan syaitan, bu..

Ibu: Cuba Boy bayangkan nasib orang-orang yang kebuluran tak cukup makan. Kita pula buang makanan.

Boy: Tapi kan ibu, nanti sampah sisa makanan tu lori sampah ambil la kan.

Ibu: Haaa..Boy tahu tak nanti lori sampah tu bawa sampah tu ke mana?

Boy: Kat tapak pelupusan sampah. Ooo, macam tempat yang kita pernah lalu hari tu kan ibu. Busuk sangat kan.

Ibu: Boy tahu tak, kat Malaysia ni, tapak pelupusan sampah makin lama makin kurang. Lama-lama nanti semua tapak pelupusan ini akan penuh.

Boy: Kalau penuh kenapa tak buka tapak baru ibu?

Ibu: Nak buka tapak pelupusan bukan mudah. Kena tengok tanah tu sesuai ke tidak. Kos pun tinggi. Nanti bila buka tapak pelupusan dekat dengan rumah-rumah orang, nanti orang pun marah kan sebab busuk.

Boy: emm.. susah rupanya kan.

Ibu: Satu lagi masalah akan timbul, sisa makanan bila dilupuskan di tapak pelupusan sampah ia akan bebaskan gas methane. Gas methane ni gas rumah hijau.

Boy: Gas rumah hijau!! Boy tahu ni ibu, cikgu sains kat sekolah pernah explain pasal gas rumah hijau. Bahaya kan. Lama-lama bila gas rumah hijau ni semakin banyak, lapisan ozon makin nipis dan global warming makin teruk.

Ibu: Pandai pun anak ibu. Betul tu, gas rumah hijau ni bahaya.

Boy: Ibu, global warming tu apa pula ye? Cikgu tak sempat explain lagi kat sekolah...hehe

Ibu: Global warming tu, suhu Bumi seluruh dunia akan meningkat.

Boy: So, jadi makin panas ke ibu?

Ibu: Ya, bila suhu meningkat, ais kat kutub akan cair.  Paras laut akan makin tinggi dan boleh tenggelamkan tempat-tempat yang rendah.

Boy: oooo...

Ibu: Nanti ibu cerita apa kita boleh buat kalau kita nak kurangkan sisa makanan ye. Jom masuk dalam rumah. Ayah dah panggil tu.

Perbualan dua beranak ini terhenti apabila ayahnya memanggil ibu dan anak masuk ke dalam rumah. ...

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara- saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
   
Siri selanjutnya boleh baca disini 

*Segala statistik sisa pepejal adalah dirujuk di http://www.academicjournals.org/article/article1379670911_Ismail%20and%20Manaf.pdf 

ROTI JOHN SIMPLE

Salam hari Jumaat semua. Saya rasa semua pasti pernah menikmati kesedapan roti john. Roti john sangat popular terutamnya di pasar malam. Setiap kali saya melewati gerai yang menjual roti john di pasar malam, pasti kecur air liur disebabkan aromanya yang memikat selera.

Setahun berada di Brisbane, setahun juga lah saya tidak menikmati roti john (walaupun disini ramai yang bernama John, tetapi tiada roti john dijual disini ye. :P).

Sebenarnya senang sahaja hendak menyediakan roti john ini. Sesuai juga untuk dimakan waktu sarapan pagi.Saya ambil resepi dari blog Ha Sue. Jom lihat resepinya.



Bahan-bahan ( 4-6 orang )

250gm daging cincang
 1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk kari
3 sudu makan minyak untuk menumis
sedikit garam
3 biji telur
sedikit butter
6 keping roti 'finger rolls' (roti panjang)
sos dan mayonis (jika suka)

Cara-cara
  1. Blend bawang dan bawang putih
  2. Panaskan minyak, tumis bahan yang diblend dan masukkan serbuk kari
  3. Masukkan daging cincang dan letakkan garam secukupnya hingga masak
  4. Belah dua roti jangan sampai putus
  5. Masukkan telur dalam daging cincang
  6. Pukul sebentar telor+daging
  7. Panaskan butter dlm kuali
  8. Letak inti atas pan mengikut sukatan roti dan telangkupkan roti di atasnya,biarkan sebentar dan inti akan melekat pada roti.
  9. Terlangkupkan atas kuali
  10. Terbalikkan adunan jika telah masak dan biarkan sebentar
  11. Angkat setelah bahagian bawah sudah sedikit garing
  12. Hiaskan dengan sos dan mayonis jika suka

Sunday, May 4, 2014

COLEK PERUT & PARU KELANTAN

 Colek perut dan paru ini makanan yang popular di Kelantan.  Setiap kali saya pulang ke Pasir Mas acara wajib bagi kami sekeluarga adalah menikmati colek perut di kedai bersebelahan dengan stadium Pasir Mas. Ada teman saya pernah memberitahu ada kedai colek perut yang sangat sedap di Tanah Merah. Tetapi saya masih belum berpeluang ke sana.
Saya masih ingat ketika mengandung tahun 2010 dulu, saya mengidam colek perut. Habis satu kawasan Bangi suami terpaksa ronda. Tetapi hampa tiada kedai yang jual colek perut. Kali ini di Brisbane,  perasaan mengidam colek perut datang lagi. Tetapi kali ini mengidam bukan kerana mengandung tetapi mengidam sebab dah lama tak makan colek perut. Kebetulan terjumpa paru dan perut yang dijual di halal butcher. Kadang-kadang susah juga nak jumpa paru dan perut di halal butcher brisbane.  Bergantung pada stok dan rezeki.hu2.

Resepi colek perut in saya ambil dari blog Ieena. Jom lihat resepinya.

Bahan-bahan utama
Perut lembu (perut babat)
Paru
Timun
Taugeh

Bahan-bahan cucur tepung
2 cwn tepung gandum
1 biji telur
garam

Bahan kuah
Segengam cili kering
Gula melaka
Air asam jawa
Cuka
Garam

Cara-cara
  1. Perut lembu direbus sampai empuk
  2. Paru direbus sampai agak empuk..kemudian digoreng
  3. Perut dan paru di hiris nipis..kalau tebal tak sedap
  4. Sagat timun panjang2
  5. Rendam tauge dengan air panas  

Cucur tepung
  1. 2 cawan tepung + garam + gula + garam + telur
  2. Digoreng dan dipotong nipis juga
Kuah colek
  1. Masak gula melaka + cili kering yg diblend + bawang putih yg ditumbuk lumat + sedikit cuka + garam secukup rasa..kalau ada kacang tumbuk pun best gak....
Cara penyediaan
  1. Masukkan semua dalam pinggan...masukkan kuah dan keropok keping diramas2 kasar....sedia untuk dimakan..



MEE KROB/ CRISPY FRIED NOODLES

Salam sejahtera semua. Hari ini saya akan berkongsi resepi masakan Thai iaitu Mee Krob ataupun Crispy Fried Noodles. Ini merupakan pertama kali saya mencuba masakan ini, hasilnya memang tidak mengecewakan. Resepi ini saya ambil dari buku resepi Australian Women Weekly.

Jom lihat resepinya.

Bahan-bahan.
200 g mee suhun / glass noodles mee
200 g udang dibuang kulit
2 biji telur
2 keping tauhu
100 g taugeh
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos ikan
2 ulas bawang putih
3 biji cili padi
2 sudu besar gula melaka
1 sudu besar cuka
200g daging cincang
daun ketumbar

Cara-caranya
1. Goreng tauhu sehingga kuning keemasan. Setelah siap digorang, hiris nipis-nipis.
2. Kemudian gorang mee suhun sekejap sahaja dalam minyak yang banyak.
3. Angkat mee yang digoreng dan toskan minyak.
4. Kemudian goreng telur dadar nipis. Setelah siap, gulung dan hiris nipis-nipis
5. Tumis bawang putih sehingga naik bau.
6. Kemudian masukkan cili padi, gula melaka, sos tomato, sos ikan dan cuka.
7. Masukkan daging cincang dan udang.
8. Setelah udang dan daging masak, masukkan tauhu yang telah digoreng tadi.
9. Kemudian masukkan mee suhun yang telah digoreng dalam kuali. Gaul sehingga sos rata.
10. Angkat dan hidangkan dalam pinggan, Tabur telur dadar dan daun ketumbar dan juga taugeh.

PRETZEL BERSALUT COKLAT



Sekarang saya tengok pretzel juga tengah "in" di Malaysia. Kali ini saya  akan kongsikan apa yang anda boleh buat dengan biskut mini pretzel. Pretzel ini rasanya masin-masin sedikit, jadi memang sesuai jika digabungkan dengan rasa manis coklat.

Untuk resepi kali ini saya hanya menggunkan mini pretzel segera yang boleh dibeli di pasar raya.
Contoh mini pretzel yang boleh dibeli di pasar raya.
Senang sahaja untuk menyediakan pretel bersalut coklat ini. Aktiviti ini sesuai juga dilakukan bersama anak-anak. Pretzel bersalut coklat ini sebenarnya dibuat oleh anak saya yang berusia 3 tahun.
Senang sahaja resepinya

Bahan-bahan
Sebungkus mini pretzel
300 g coklat masakan
Sprinkel bewarna warni


Cara-cara
1. Cairkan coklat secara double boiler ataupun gunakan microwave. Saya gunakan microwave, sangat senang panaskan coklat selama 20 saat dan kemudian keluarkan dan kacau sehingga semuanya cair.
2. Kemudian celupkan pretzel kedalam coklat dan selepas itu celup kedalam sprinkles.
3. Letakkan pretzel yang telah siap atas loyang yang telah dialas dengan kertas.
4. Biarkan pretzel tersebut benar-benar kering sebelum dipindahkan kedalam balang.