Saturday, June 27, 2015

Karipap pusing rangup inti kentang


Apa khabar semua? Hujung minggu ini Mamadee menerima kunjungan berbuka puasa di rumah rakan. Tak tahu nak bawa juadah apa. Tengah blogwalking blog masakan kegemaran Mamadee, terlihat karipap pusing kak Noor, dari blog Bicara kak Noor. Nampak sedap sangat. Pusaran kulit karipap juga sangat cantik, kemas dan sekata.  Resepi ini adalah dari kak Shiela blog Spice Journey. Memang sedap dan rapuh karipapnya.  Yang kelakar, dah siap-siap isi inti karipap, bila tiba masa untuk kelim tepi karipap, Mamadee tak reti cara kelim tepi karipap dengan betul....memang fail. At last.. Mamadee tengok tutorial cara kelim karipap kat You Tube.  Mudahnya zaman sekarang, semua dihujung jari. 

  Jom lihat resepi dan step-by step cara menyediakannya. 

Mamadee menyediakan inti terlebih dahulu. 

INTI KENTANG

Bahan-bahan

4 biji kentang saiz besar ~ di potong dadu kecil
sedikit daging yang dipotong kecil-kecil / daging kisar
3 ulas bawang merah ~ kisar
2 ulas bawang putih ~ di kisar
3 sudu besar rempah kari
garam dan gula secukup rasa
2 tangkai daun kari
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara-cara
  1. Panaskan minyak
  2. Tumiskan daun kari dan bahan kisar hingga harum dan garing
  3. Masukkan rempah kari dan masak lagi hingga garing
  4. Masukkan daging, biarkan masak. Kemudian masukkan kentang dan tambahkan air
  5. Biarkan ia merenih dan kentang empuk
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
  7. Biarkan ia kering



KULIT KARIPAP
Doh A
1 cawan tepung gandum 
1 sudu besar tepung jagung 
2 sudu besar veg shortening 
2 sudu besar marjerin

Untuk doh A
Satukan semua bahan untuk doh A dalam bekas. Gaul hingga sebati. Boleh di kepal atau di bulatkan.
Kemudian bahagikan doh kepada 4 bahagian yang sama besar. Bulat-bulatkan dan ketepikan.

Doh B
2 cawan tepung gandum 
1/4 cawan minyak jagung 
1 sudu kecil garam atau secukup rasa 
1/2 cawan air anggaran ~ air ni tuang sikit-sikit

Untuk doh B 
  1. Masukkan tepung ke dalam bekas dan buatkan kawah atau lubang di bahagian tengahnya 
  2. Kemudian panaskan minyak, dan tuang minyak panas kedalam kawah tepung yang dalam mangkok tadi. 
  3. Gaul rata dengan senduk atau sudu  AWAS MINYAK PANAS!!
  4. Gaul sehingga ia menjadi serbuk roti.
  5. Sementara itu garam kita bancuhkan bersama air hingga larut.
  6. Tuangkan air garam  sedikit demi sedikit kedalam tepung sambil menguli.
  7. Uli hingga sebati dan agak tak melekat di tangan.




Bahagikan doh B kepada 4 bahagian yang sama banyak dan bulat-bulatkan doh.



Canaikan satu bahagian doh B yang kita telah bahagikan tadi.
Letakkan satu bahagian doh A di tengahnya



Bungkuskan dan kemaskan padat
Kemudian di bulatkan, ketepikan
Ulang kaedah yang sama untuk baki doh-doh selebihnya.


Doh yang telah di satukan tadi, di canai sederhana ketebalannya. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

Kemudian di gulung menjadi selinder yang panjang.


Kemudian di canai sekali lagi sederhana tebal juga.



Gulung semula menjadi selinder.
Ulang proses yang sama untuk doh yang selebihnya.
Kemudian doh ini direhatkan sebentar anggaran 15 minit agar ia sebati dan lembut.







Ambil satu bahagian doh dan potongkan kepada 6 kepingan


Ambil sekeping doh yang telah di potong dan canaikan bentuk bulat, sederhana tebal. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Jika nipis ia susah di kendalikan, mudah pecah semasa meletakkan inti. Jika tebal pula tidak enak pula untuk di nikmati nanti. 


Letakkan inti yang di sukai di bahagian tengahnya, jangan penuh sangat sebab takut pecah pula dohnya.
Lipat dan kemaskan tepinya agar tidak terbuka.
Klimkan kemas agar tidak terbuka semasa proses mengoreng nanti
Ulang proses yang sama hingga habis kesemua kepingan doh

Kaedah mengoreng 
Pastikan semasa mengoreng minyak betul-betul panas.
Cara mengoreng karipap pusing ni tak sama macam karipap biasa. Kalau karipap biasa minyak tak boleh panas sangat nanti ia mengerutu dan gelembung-gelembung permukaan karipap tu.. tapi sebaliknya karipap pusing kena goreng dalam minyak yang betul-betul panas supaya karipap ni cantik kejadiannya. Api tidak boleh terlalu kecil nanti karipap ni akan serap minyak yang banyak dan buatkan kita muak bila menikmatinya.
Goreng hingga ia kuning keemasan, kemudian angkat dan letakkan atas tisu dapur supaya minyaknya di serap.
Kemudian bolehlah di hidangkan panas-panas.

Wednesday, June 24, 2015

Ayam Bali Masakan Indonesia


Assalamualaikum. Dah masuk hari ke-8 Ramadhan. Sekejap sahaja terasa, begitu cepat masa berlalu.

Tempoh masa berpuasa di Brisbane kali ini lebih singkat berbanding di Malaysia, sekitar jam 5 petang kami akan berbuka puasa. Kebiasaanya, saya siap memasak hidangan untuk berbuka pada waktu pagi selepas subuh, kerana saya akan pulang dari universiti sekitar jam 4.30.  Jadi, memang tak sempat kalau baru nak memasak hidangan berbuka pada waktu petang.
Kali ini saya menyediakan hidangan ayam bali. Ayam bali adalah masakan Indonesia. Rasanya seakan-akan gabungan rendang ayam dengan aroma kari. Penyediaannya juga ringkas, tak perlu gunakan santan seperti rendang. Ayam bali ini juga enak dimakan bersama nasi impit selain daripada disajikan dengan nasi putih.


Sumber resepi Dapur Malaysia.

Bahan-bahan (5-6 orang)
Ayam
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil ketumbar (coriander powder)
1 sudu kecil jintan manis (aniseed)
1 sudu kecil jintan kasar (ground fennel seed)
3 batang serai (2 dikisar dan 1 diketuk)
Kicap pekat
Cili kering
1 tangkai daun kari
3-4 helai daun limau purut
Asam keping
Minyak masak
Garam dan gula

Cara-cara
  1. Kisar bawang besar, bawang putih, ketumbar, jintan manis, jintan kasar, cili kering dan serai.
  2. Gaulkan bahan yang dikisar bersama-sama kunyit dan kicap pekat. Kemudian perap ayam dengan bahan ini.
  3. Panaskan minyak dan masukkan ayam yang telah diperap ke dalam kuali. Bahan perapan jangan dimasukkan lagi.
  4. Bila ayam sudah agak masak, masukkan bahan perapan tadi. Masukkan juga daun kari, daun limau purut, serai dan asam keping.
  5. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Siap untuk dihidangkan. Selain nasi, boleh juga dihidangkan bersama-sama nasi impit.

Saturday, June 20, 2015

Puding karamel bakar

Assalamualaikum semua. Sekejap je rasa dah masuk hari ke-4 kita berpuasa. Semoga kita semua dapat membanyakkan amal ibadat di bulan mulia ini.


Pasti di Malaysia, meriah dengan bazar ramadhan..tapi jangan membazir ye. Kadang2 semasa lapar, semua nampak menyelerakan. Tapi bila dah berbuka...tak larat untuk habiskan semua makanan. Saya ada terbaca laporan secara online yg setiap kali ramadhan rakyat malaysia membuang hampir 270 000 tan sisa makanan. Sedih bukan.


Berbalik kepada resepi kali ini, saya mencuba resepi puding karamel yang baru saya cipta. Dan saya tidak mengukus puding tersebut. Sebaliknya saya cuba bakar secara kaedah bain-marie. Yummy..memang lagi sedap sebab tak berbau hanyir telur. Teksturnya juga seakan2 taufu fa. Lembut.
Kali ini saya mencipta resepi baru..biasanya untuk mendapatkan puding yang lemak, banyak kuning telur perlu digunakan. Saya kurang gemar..sebab nanti putih telur yg tak digunakan akan terbiar dalam fridge. Kali ni saya gunakan semua telur..dan untuk dapatkan rasa yg lemak tu saya gunakan susu segar full cream. Yang membuatkan saya gembira, adalah suami mengatakan this is the best caramel pudding ever!!!.

Jom lihat resepi.

Bahan-bahan


400ml susu full cream
5 biji telur
1/4 cawan susu pekat manis
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu teh esen vanila

Untuk karamel
5 sudu besar gula pasir.


Cara-cara.
1. Panaskan oven 180 degree c. Masukkan tray yg berisi air panas kedalam oven.
2.Kita sediakan karamel terlebih dahulu. Masukkan gula pasir kedalam loyang. Panaskan loyang atas dapur menggunakan api kecil. Sentiasa kacau gula tersebut. Bila gula sudah cair dan warnanya keperangan matikan api. Jangan biarkan warna karamel menjadi gelap kerana karamel akan menjadi pahit.
3.. Masukkan telur, susu full cream, susu pekat manis dalam mangkuk besar dan kacau perlahan-lahan. Jangan kacau laju sehingga berbuih, nanti puding akan berlubang-lubang.
4. Masukkan esen vanila dan tepung kastard. Kacau perlahan-lahan.
5. Tapiskan adunan tadi semasa masukkan kedalam loyang.
6. Loyang puding ini kemudian di letakkan didalam tray yg berisi air panas didalam oven.
7. Bakar selama 40-45 minit atau sehingga masak.


Thursday, June 18, 2015

Puding karamel tanpa telur



Assalamualaikum. Apa menu berbuka hari ini? Untuk pencuci mulut, kali ini Mamadee menyediakan puding karamel tanpa telur. Resepi ini Mamadee ambil dari blog kak lina teratak mutiara. Memang sedap, sejuk je tekak. Jom lihat resepinya.



Bahan-Bahan A (Gula Hangus)

4 sudu besar gula pasir

Bahan-Bahan B (Puding)

1 paket agar-agar serbuk 10g
4 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat manis
1 tin susu cair
3sb  tepung kastard
1 sk esen vanilla

Cara-cara


  1. Memula buat gula hangus seperti biasa.Taburkan gula ke dalam loyang, guna api kecil masak hingga gula menjadi perang, kemudian ratakan keseluruhan loyang.Kemudian ketepikan
  2. Satukan semua bahan B.Kacau atas api.Aduanan mesti dikacau selalu takut tepung kastad akan bergentel.
  3. Apabila menggelegak dan adunan kelihatan sedikit pekat.Tutup api, tapis dan tuangkan ke dalam loyang yang berisi gula hangus tadi.
  4. Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan ke dalam peti ais hingga puding mengeras.Terbalikkan puding dan bolehlah dihidang.


Note: Puding ni sangat sedap dimakan bila sejukkan dalam peti ais. Mamadee buat puding ni dalam bekas kecil-kecil bukan dalam loyang.

Kari kepala ikan tanpa santan ala India

Selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Kali ini sekali lagi Mamadee berpeluang berpuasa di perantauan. Tempoh masa berpuasa di sini lebih singkat, kerana sekarang adalah musim sejuk. Jadi seawal jam 5 petang kami sudah berbuka. 

Berpuasa di perantauan ada cabaran yang tersendiri. Ada rakan-rakan bukan Islam yang bertanya tentang berpuasa. Bagi mereka, tidak makan dan minum sepanjang hari sangatlah mustahil untuk dilakukan. Yang penting sebagai Muslim, kita kena lah tunjukkan contoh yang baik kepada mereka. 

Berbalik kepada resepi kali ini, untuk menu berbuka, Mamadee menyediakan kari kepala ikan tanpa santan. Suami lebih menggemari kari jenis begini daripada yang ada santan, jadi ikut sahajalah seleranya. Kebetulan, kami sempat membeli kepala ikan salmon di asian market, jadi memang sesuai lah, kepala ikan ini dimasak kari. Kepala ikan salmon sangat murah di sini, hanya 3 dollar sekilo. Jom lihat resepinya. 



Bahan-bahan.
2 kepala ikan (saya gunakan kepala ikan salmon)
1 labu bawang besar dihiris nipis
5 ulas bawang putih dihiris nipis
1 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
2 tangkai daun kari
3 sudu besar rempah kari ikan
Air asam jawa
1 biji tomato
Garam

Cara-cara
1.  Tumis halba, biji sawi dan daun kari shg naik bau.
2. Masukkan bawang besar dan bawnag putih ke dalam periuk.
3. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air. Kemudian masukkan bancuhan kari tadi kedalam periuk. Tumis shg naik bau.
4. Kemudian masukkan air asam jawa dan juga 2 cawan air. Biarkan shg mendidih.
5. Kemudian masukkan ikan.
6. Setelah ikan hampir masak, masukkan tomato.
7. Masukkan garam secukup rasa.
8. Siap dan sedia untuk dihidang.

Wednesday, June 17, 2015

Sayur goreng dengan telur

Assalamualaikum semua. Sudah lama rasanya Mamadee tak berkesempatan berkongsi resepi dengan pembaca blog. Tetapi anda boleh follow Mamadee di Instagram. Selalu juga Mamadee update resepi di instagram kerana lebih senang menggunakan telephone. hehe. Sibuk, bagai tak cukup tangan mengguruskan keluarga dan pengajian disini. Alhamdullilah tak lama lagi milestone kedua untuk PhD akan Mamadee jalani pada bulan Julai nanti. Dokumen untuk panel penilai dah berjaya disiapkan. Cuma sekarang masih menunggu maklum balas dari kedua-dua penyelia.

Dalam kesibukan belajar, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tetapi menjadi keutamaan. Terutama dalam menyajikan hidangan berkhasiat dan menyelerakan kepada keluarga. Boleh dikatakan setiap hari Mamadee memasak hidangan untuk keluarga kerana di Australia, kos untuk makan diluar agak mahal. Atas faktor kekangan masa, selalunya masakan yang menjadi pilihan adalah masakan yang senang disediakan dan yang penting lazat dan berkhasiat.


Okay, berbalik kepada resepi kali ini, Mamadee menyediakan sayur goreng dengan telur. Sayur brokoli dan bunga kobis memang menjadi kegemaran anak Mamadee. Tambahan pula bila digoreng dengan Maggi® CukupRasa...yummy. Memang dia makan sayur tu sahaja, macam makan nasi.hehe.

Maggi® CukupRasa ini mengandungi bawang merah dan bawang putih yang akan membuat hidangan sayur goreng bertambah-tambah enak.  Suami Mamadee yang tak suka makan sayur pun akan makan sayur goreng ni bila digoreng dengan Maggi® CukupRasa. Apa yang Mamade suka, adalah, dengan menggunakan Maggi® CukupRasa ni, masa memasak dapat disingkatkan dan sangat mudah kerana semua rencah dan rasa secukupnya dah siap terkandung dalam pek Maggi® CukupRasa. Jadi, tak perlu pening-pening kepala nak fikir.



Jom tengok resepinya.

Bahan-bahan

100g brokoli
100g bunga kobis
100g carrot
2 ulas bawang putih (diketuk)
1/2 sudu besar Maggi® CukupRasa
1 biji telur saiz besar
1 biji cili merah besar

Cara-cara.
1. Tumiskan bawang putih sehingga kuning.
2. Kemudian masukkan brokoli, bunga kobis dan carrot.
3. Setelah sayur setengah masak, pecahkan telur ditengah-tengah. Kacau dengan cepat sehingga telur hancur dan menyelaputi sayur.
4. Kemudian masukkan Maggi® CukupRasa
5. Masukkan cili merah yang telah dipotong kecil-kecil. Goreng sehingga masak. Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.